Dibangunkan bersama
ANGKATAN KOPERASI
KEBANGSAAN MALAYSIA
BERHAD (ANGKASA)

Blog

5 Tips Penting Pengurusan Kewangan Untuk Diajar Pada Anak-Anak Kita

0 Komen

Masih segar di ingatan penulis sewaktu mendaftar subjek untuk semester terakhir di universiti. Di antara pilihan-pilihan yang tersedia untuk subjek elektif adalah Pengurusan Kewangan Peribadi dan ternyata pilihan ini bakal membuka lembaran baru di dalam kehidupan penulis.

4 bulan kelas dihadiri dan setiap tajuk yang dipelajari mencetuskan lebih banyak persoalan berkenaan subjek ini. Di antara persoalan yang bermain di minda adalah mengapa perkara sepenting ini tidak diajarkan di peringkat sekolah lagi. Jika pendedahan diberikan lebih awal, tabiat pengurusan kewangan yang sihat dapat dipupuk di kalangan rakyat kita. Maka akan berkuranglah kedengaran masalah-masalah seperti tabiat suka berhutang, kebankrapan di usia muda dan sebagainya.

Justeru, penulis ingin berkongsi beberapa tips pengurusan kewangan yang boleh di ajar kepada anak-anak kita yang bakal memberi manfaat berterusan dalam kehidupan mereka.

1) Mulakan simpanan pada usia awal

Kesedaran untuk mempunyai simpanan bukanlah sesuatu yang semulajadi didapati dalam diri semua orang. Sebuah kaji selidik yang dijalankan oleh RinggitPlus mendapati 59% rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk bertahan selama 3 bulan tanpa pendapatan. 24% pula tidak mempunyai simpanan langsung dan hanya bergantung kepada gaji yang diterima setiap bulan.

2) Memahami bagaimana Kad Kredit Berfungsi

Ramai orang menganggap kad kredit sebagai “safety net”. Walaubagaimanapun, tanpa disedari, hutang kad kredit akan menjadi bebanan yang memerangkap penggunanya dan pendapatan setiap bulan akan dihabiskan untuk membayar faedah dan caj kelewatan. Untuk jalan keluar, pendapatan perlu ditingkatkan dan perbelanjaan harus dikurangkan dan ini memerlukan perubahan gaya hidup yang drastik. Selain itu, mendapatkan pinjaman peribadi dengan kadar faedah yang lebih rendah untuk membayar hutang kad kredit juga boleh dilakukan. Ini dapat mengurangkan komitmen bulanan anda.

3) Membeli “Life Insurance” atau Takaful

Pada usia muda dan kesihatan yang masih baik adalah waktu yang paling ideal untuk membeli insurans atau menyertai takaful kerana premium yang dikenakan rendah dan berpatutan. Terdapat juga skim-skim yang menggabungkan pelan yang melindungi perbelanjaan perubatan disertai dengan simpanan. Insurans atau takaful ini amat berguna untuk menghadapi sebarang kemungkinan di masa akan datang.

4) Utamakan pembelian rumah berbanding pembelian kenderaan

Di antara kebiasaan yang dilakukan oleh anak-anak muda hari ini apabila mula bekerja adalah dengan menjadikan pembelian kenderaan sebagai agenda pertama apabila sudah mempunyai pendapatan tetap dan berkelayakan untuk mendapatkan pinjaman bank. Pilihan kenderaan biasanya akan mengikut “trend” daripada mengikut keperluan semasa dan ini menyebabkan mereka terpaksa membayar ansuran bulanan yang tinggi. Jika berterusan, kebarangkalian untuk mencapai kelayakan membeli rumah akan berkurang kerana mereka perlu menyediakan wang pendahuluan yang agak besar dan ansuran pinjaman perumahan yang biasanya lebih tinggi dari ansuran kenderaan. Perkara yang perlu diterapkan kepada anak-anak kita adalah rumah merupakan aset dan nilainya meningkat berbanding kenderaan yang akan menyusut nilai saban tahun.

5) Merancang dan mencatat perbelanjaan

Nasihat ini mungkin akan kelihatan tidak popular atau “skema” tetapi ini merupakan satu amalan yang amat penting untuk diterapkan di dalam diri anak-anak kita. Perbelanjaan yang melebihi RM100 sepatutnya dirancang terlebih dahulu dan bukan diputuskan sewenang-wenangnya. Azizi Ali, seorang jutawan dan pakar motivasi kewangan di dalam bukunya “Millionaires are From a Different Planet” berkongsi praktis beliau dan isterinya di mana bagi sebarang pembelian berjumlah lebih RM500, mereka akan berbincang dan merancang terlebih dahulu sebelum membuat keputusan. Mencatat perbelanjaan pula akan membantu anak-anak anda memantau ke mana pergi wang mereka setiap bulan supaya mereka boleh mengawal dan membuat perancangan yang lebih baik pada masa-masa akan datang.

Portal MyAzZahra adalah platform untuk memohon pembiayaan peribadi yang patuh syariah dari pelbagai koperasi menerusi skim potongan gaji Angkasa.

Layari www.myazzahra.com untuk memohon

Artikel berkaitan

Tinggalkan komen