Dibangunkan bersama
ANGKATAN KOPERASI
KEBANGSAAN MALAYSIA
BERHAD (ANGKASA)

Orion IXL sediakan pinjaman digital MyAngkasa

KUALA LUMPUR 11 Okt. – Penyediaan rumusan teknologi dan perniagaan,Orion IXL Bhd.(Orion IXL) meraih kontrak untuk membangun dan menguruskan sistem permohonan pinjaman dalam talian untuk koperasi dan ahli- ahli Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd. (Angkasa).

Orion IXL menerusi anak syarikatnya, Sukaniaga Sdn. Bhd. (Sukaniaga) memeterai perjanjian usahasama dengan anak syarikat Angkasa, MyAngkasa Holdings Sdn. Bhd. (MyAngkasa) untuk melaksanakan ‘Sistem E-Angkasa Digital Az-Zahra’ bagi kegunaan ahli-ahli koperasi Angkasa.

Ketua Pegawai Eksekutif Orion IXL, Mohamad Shaharul Mohamad Shariff berkata, kedua-dua syarikat itu bersetuju untuk menubuhkan syarikat bertujuan khas bagi melaksanakan projek itu yang mana Sukaniaga akan memegang 75 peratus saham sementara MyAngkasa pula memiliki 25 peratus,

“Kerjasama ini akan menyaksikan Sukaniaga menyediakan secara eksklusif rumusan akhir-ke-akhir dalam talian daripada peringkat permohonan pinjaman sehingga ke proses kelulusan pinjaman untuk tempoh selama 15 tahun menerusi model perniagaan.

“Sistem kewangan digital bersepadu teknologi kewangan (fintech) akan membolehkan Angkasa meningkatkan kepantasan dan kecekapan pemprosesan permohonan pinjaman daripada koperasi dan ahli koperasi yang layak, selain membantu menambah bilangan permohonan itu sendiri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Angkasa merupakan sebuah koperasi yang diiktiraf oleh kerajaan sebagai badan perwakilan kepada pergerakan koperasi negara peringkat kebangsaan dan antarabangsa, sementara Sukaniaga pula syarikat bersekutu Ganda Integrasi Sdn. Bhd. (Ganda Integrasi), syarikat milik penuh Orion IXL.

Menurut Mohamad Shaharul, Sukaniaga juga akan menyediakan kakitangan terlatih dan berpengalaman untuk projek itu dan melaksanakan tanggungjawab secara teratur serta profesional, sejajar dengan terma perjanjian usaha sama dan piawaian industri.

“Syarikat usaha sama (JVC) tersebut akan mengandungi lima ahli Lembaga Pengarah iaitu dua daripada MyAngkasa dan tiga daripada Sukaniaga,” jelas beliau.

“JVC ini akan bertanggungjawab untuk memohon kelulusan berkaitan bagi Sistem EAngkasa Digital Az-Zahra dan juga kelulusan daripada Angkasa untuk integrasi antara Sistem E-Angkasa Digital Az-Zahra dengan mana-mana sistem sedia ada di Angkasa.

Menurut laporan tahunan terbaharu Suruhanjaya Koperasi Malaysia, terdapat 650 koperasi kredit dan bukan kredit pada masa ini beroperasi dengan nilai pinjaman RM3.9 bilion yang dikeluarkan dalam setahun.

 

Lihat Artikel

Artikel berkaitan